Sign In
Mobirise Web Builder
Majlis Perasmian Pejabat Pos The Mall Bertempat Di Hotel Rizqun

MAJLIS PERASMIAN PEJABAT POS THE MALL

BERTEMPAT DI HOTEL RIZQUN

JAM 2.30 PETANG

PADA 13HB JUN, 2013

 

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDULLAH BIN BEGAWAN MUDIM DATO PADUKA HAJI BAKAR, MENTERI PERHUBUNGAN

 

BISMILLAHI RAHMAN NIR RAHIM

ASSALAMUALAIKUM WARRAHMATULAHI WABARRAKATUH


Selawat serta Salam ke atas Nabi besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, Kaum Kerabat dan Pengilkut-Pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Yang Mulia Haji Mohamad Manan bin Haji Lakim, Pemangku Ketua Pos Agung, Selaku Pengerusi Majlis;

Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin, Penghulu Mukim Gadong ‘A’;

Yang Mulia, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan;

Yang Mulia, Awang Haji Idris bin Haji Md Ali, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan;

Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan;

Wakil agensi-agensi Kerajaan dan Swasta;

Para Hadirin dan Hadirat yang saya hormati sekelian;

 

1.Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua kita dapat hadir dan mengadakan Majlis Perasmian sebuah lagi cawagan baru, Jabatan Perkhidmatan Pos pada petang ini.

 

2.Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Perkhidmatan Pos kerana telah berjaya membuka sebuah lagi cawangan baru bagi menjadikan 25 buah semuanya. Jika di lihat penubuhan pejabat pos di kawasan komersial ini amatlah istimewa sekali. Usaha ini adalah merupakan langkah yang tepat dan bersesuaian dalam usaha Jabatan Perkhidmatan Pos dalam mengentengahkan imej korporatnya kepada orang ramai serta untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap Jabatan ini. Usaha seumpama ini merupakan satu inisiatif Jabatan Perkhidmatan Pos dalam persediaan awal ke arah pengkorporatan.

 

3.Saya penuh berharap usaha menubuhkan perkhidmatan pos di pusat-pusat komersial seperti ini dapat diteruskan memandangkan ianya adalah merupakan tempat tumpuan orang ramai berurusan dan membeli belah. Setentunyalah memberi peluang orang yang datang kesini mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang sama seperti perkhidmatan yang diberikan di pejabat pejabat pos lain.

 

4.Saya juga berharap para kakitangan yang mengendalikan pejabat pos ini akan dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai. Saya seterusnya menyeru supaya Jabatan Perkhidmatan Pos akan meneruskan usaha mengadakan pejabat pos yang serupa di pusat-pusat komersial yang difikirkan bersesuaian. Saya telah difahamkan usaha-usaha seperti ini adalah selaras dengan amalan-amalan terbaik atau ‘best practices’ di pentadbiran Pos di negara-negara lain.

 

5.Dalam arus pemodenan sekarang, perkembangan perhubungan info komunikasi dan teknologi memainkan peranan sangat penting dalam memberikan perkhidmatan. Malah perkembangan ini telah mencorak trend baru kepada orang ramai dalam menguruskan kehidupan seharian. Kita dapat bayangkan bagaimana perkembangan pembelian secara ‘online’ telah menukar pola pikir orang ramai, contohnya dalam membeli belah, cara membeli melalui talian (online shopping) telah menjadi pilihan sekarang.

 

6. Seperti apa jua yang di hasratkan oleh Kemenetrian Perhubungan melalui visinya untuk mengujudkan sebuah masyarakat pintar(smart society) menjelang tahun 2017, orang ramai tidak lagi menggunakan perkhidmatan tradisi akan tetapi menggunakan khidmat teknologi maklumat. Hasrat ini akan di dukung lagi dengan dengan perkembangan FTTH atau ‘Fiber To The Home’ yang sedang giat diusahakan. Dengan perkembangan ICT ini akan memberi manfaat ke Jabatan Perkhidmatan Pos bagi menaiktarafkan perkhidmatannya terutama dalam pembelian secara ‘on-line’ dalam era perkembangan pasaran Smart sekarang yang semakin meningkat.

 

7.Di negara kita ini juga didapati orang ramai semakin meningkat menggunakan perkhidmatan “online shopping” dan ini terbukti melalui perangkaan jabatan Pos yang menunjukkan peningkatan dalam perbandingan tahun kewangan 2011-2012 dan 2012-2013 bagi perkhidmatan-perkhidmatan seperti Pos Laju adalah 37.4 peratus; EMS 7.4 peratus; bungkusan 7.7 peratus; dan peket kecil dengan jumlah peningkatan yang sangat ketara iaitu kira-kira 55 peratus.

 

8.Jabatan perkhidmatan Pos hendaklah berusaha untuk menerokai dan mengambil peluang dalam perkembangan ‘online shopping’ dan ‘e-commerce’ secara amnya. Ini kerana perkhidmatan ini adalah menguntungkan dan mempunyai pasaran yang meningkat. Saya berharap Jabatan Perkhidmatan Pos akan dapat melaksanakan projek ePostnya. Perkhidmatan ePost adalah sebuah perkhidmatan yang menggunakan sistem online bagi penempahan barangan melalui Internet.

 

9.Dalam hal ini, pada masa-masa yang terdekat, saya juga penuh berharap supaya Jabatan Perkhidmatan Pos akan dapat membuat pendekatan kearah kerjasama atau kaedah ‘strategic partnership’ dengan beberapa syarikat-syarikat terkemuka dunia yang popular dengan penghantaran barangan melalui pesanan online.

 

10.Walaubagaimanapun, ingin saya tekankan bahawa dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada e-commerce sahaja belum lengkap sekiranya Jabatan perkhidmatan Pos tidak berusaha meningkatkan sistem dalamannya seperti meningkatkan kualiti perkhidmatan ke tahap yang boleh memenuhi kehendak orang ramai.

 

11.Saya sarankan supaya jabatan Perkhidmatan Pos akan dapat mengatur langkah bersesuaian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatannya terutama perkhidmatan penghantaran bungkusan dan paket kecil yang permintaan nya atau “demand” semakin meningkat. Saya mengambil maklum bahawa Jabatan Perkhidmatan Pos sedang dalam melaksanakan nilai tambah perkhidmatan peket-peket kecil dan bungkusan, dengan menyerapkan penghantarannya menggunakan perkhidmatan Pos Laju.

 

12.Pada hemat saya, perkembangan Pos perlulah selaras dengan perkembagan sumber tenaganya. Saya menyeru supaya Jabatan perkhidmatan Pos mengambil inisiatif bagi membekalkan sumber tenaga menusia dengan kemahiran, pengetahuan khususnya dalam bidang perniagaan ICT dalam persediaan menghadapi cabaran-cabaran yang di bawa oleh arus perkembangan ICT.

 

13.Akhir kata saya ingin sarankan dan berseru kepada orang ramai supaya memberikan kepercayaan dan menggunakan perkhidmatan pos sabagai pilihan utama dalam sebarang urusan yang berhubung dengan pemberian perkhidmatan pos.

 

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassallamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.​

Attachments
Speeches