Sign In
Mobirise Web Builder
Teks Ucapan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah Bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Perhubungan Sempena Sambutan Hari Pelaut 2013

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDULLAH BIN BEGAWAN MUDIM DATO PADUKA HAJI BAKAR
MENTERI PERHUBUNGAN

 

SEMPENA:

“SAMBUTAN HARI PELAUT 2013”

 

PADA:

20 SYAABAN 1434H / 29 JUN 2013M

 

BERTEMPAT DI:

DI DERMAGA DIRAJA

 

JAM 2:30 PETANG

 

 ​

Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een.

 

Yang Mulia, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan;

 

Yang Mulia, Awang Haji Idris bin Haji Md Ali, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan;

 

 

Yang Mulia Haji Matnor bin Haji Salleh, Pengarah Laut, Selaku Pengerusi Majlis;

 

 

Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan; Wakil agensi-agensi Kerajaan dan Swasta; Para Hadirin dan Hadirat yang saya hormati sekalian;

 

 

1)   Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, dengan limpah rahmat serta izinnya jua kita dapat berkumpul di majlis yang sungguh bermakna pada hari ini. Saya sukacita merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Laut serta seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Hari Pelaut di atas ingatan baik menjemput saya hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyampaikan ucapan di majlis ini.

 

2)   Kepada semua warga pelaut samada mereka berada di Negara Brunei Darussalam atau pada masa ini bertugas di laut, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pelaut 2013. Pada hari ini jugalah kita mengiktiraf usaha dan pengorbanan pelaut-pelaut kita yang tidak ternilai yang telah menyumbang kepada perdagangan antarabangsa dan ekonomi dunia melalui industri maritim. Saya merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya di atas sumbangan bakti dan pengorbanan tersebut kerana peranan pelaut-pelaut sentiasa berkembang dan menempuhi perubahan serta keadaan yang tidak dapat diduga.Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

 

3)   Seperti yang kita maklum, industri maritim adalah merupakan industri yang menawarkan bidang perusahaan dan perniagaan yang meluas. Dari perusahaan-perusahaan yang merangkumi industri perkapalan kepada industri-industri antara lainnya seperti “dry docks, shipping dan ‘freight forwarding services’.Dengan pertumbuhan penduduk dunia yang semakin meningkat, aktiviti-aktiviti perekonomian, pergerakan barangan dan orang juga akan lebih meningkat.Industri maritim tidak terkecuali dan perkara ini akan setentunya memerlukan perancangan senario yang rapi supaya perkhidmatan dan perusahaan akan dapat dipertingkatkan dan diperbanyakkan untuk memenuhi kehendak semasa dan dimasa akan datang.

 

4)   Majoriti dagangan dunia diangkut oleh kapal-kapal yang melalui perairan tempatan, serantau dan antarabangsa. Sebagai contoh: dagangan minyak dan gas, kenderaan-kenderaan yang kita pandu yang didatangkan dari luar Negara, pakaian serta kegunaan harian, makanan dan berbagai lagi yang majoritinya menggunakan kapal. Kapal-kapal ini dikendalikan oleh pelaut-pelaut. Dalam hal ini, bolehlah kita rumuskan majoriti keperluan penduduk didunia ini adalah hasil khidmat yang langsung atau secara tidak langsung daripada pelaut-pelaut. Ini bermakna, lebih kurang 1.5 juta pelaut-pelaut didunia ini memberi perkhidmatan kepada majoriti penduduk didunia ini.

 

5)   Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, kita mempunyaikepentingan yang besar dalam industri Maritim.Kebanyakan sumber ekonomi negara terletak di kawasan Maritim yang menyumbang lebih dari 95% kepada GDP Negara, seperti Hydro Carbon, (minyak dan gas), perikanan dan aktiviti perkapalan. Kita berharap sambutan Hari Pelaut ini akan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menghargai dan meningkatkan pemedulian terhadap pentingnya peranan pelaut-pelaut kita. Peranan penting ini bukan sahaja tugas mereka dalam memperkembangkan industri maritim negara ini, bahkan secara "hands-on" menjaga keselamatan, sekuriti dan alam persekitaran Maritim.

 

 

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

 

6)   Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Laut telah mengadakan peraturan dan piawaian yang seimbang dan selaras dengan peraturan dan piawaian antarabangsa bagi menjaga kebajikan dan kepentingan para pelaut di dalam kapal-kapal. Dalam menuju status rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, berkehidupan yang berkualiti tinggi dan menikmati ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan pada tahun 2035, Kementerian Perhubungan menyedari pemfokusan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia merupakan elemen yang penting dan ini tidak terkecuali di dalam industri maritim amnya dan perkapalan khasnya.

 

7)   Sesuai dengan Dasar Kerajaan ke arah menjaga dan meningkatkan kepentingan industri Maritim negara ini, Alhamdulillah, pada 9 Februari tahun 2013 Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Laut, Kementerian Perhubungan mengendalikan satu lagi projek bagi Perkhidmatan Perunding untuk Membangunkan Pelan Induk Projek-Projek Maritim bagi Negara Brunei Darussalam. Projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 ini dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan.

 

8)   Di antara skop kerja utama dalam projek ini adalah kajian bagi penubuhan Pusat Latihan Maritim, mengenal pasti industri-industri maritim lain antaranya seperti pengurusan perkapalan, pendaftaran kapal terbuka, kewangan perkapalan, insurans marin, kejuruteraan luar pesisiran, pembekal peralatan marin, penaik taraf pendaftaran perkhidmatan pengangkutan dan perlesenan. Projek ini juga melibatkan kerja-kerja ke atas pendalaman tarusan Muara dan persekitaran Pulau Muara Besar dan meneliti semula apa juga kehendak serta peraturan-peraturan antarabangsa seperti Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), 'International Association of Lighthouse Authority'.Saya percaya inisiatif ini akan memberikan beberapa cadangan strategik dalam pertumbuhan industri Maritim tempatan kita di samping meningkatkan sekuriti dan keselamatan maritim di perairan Negara Brunei Darussalam.

 

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

9)   Antara cabaran utama industri perkapalan yang terjadi pada masa ini, bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam, malahan di seluruh dunia, adalah isu kekurangan bekalan pelaut yang cekap dan berkualiti. Di dalam konteks Negara Brunei Darussalam, sebagai sebuah negara yang bergantung tinggi kepada sektor perkapalan bagi mengangkut eksport utama ekonomi, ianya merupakan satu cabaran dalam menyediakan tenaga kerja yang mencukupi bagi mengendalikan kapal-kapal di Negara ini.

10)   Negara Brunei Darussalam kini sudah mempunyai pegawai-pegawai dan kakitangan yang mempunyai kelulusan dan kemahiran khusus dalam bidang Maritim ini. Walaupun masih terdapat cabaran kekurangan dan keupayaan sumber tenaga manusia dibidang ini, kita akan terus berusaha meningkatkan kapasiti tenaga manusia dalam bidang maritim dan bagi membolehkan lebih ramai lagi kakitangan mendapatkan kelulusan tertinggi.

11)   Statistik menunjukkan hanya sejumlah 1225 pelaut tempatan dan sejumlah melebihi 3000 pelaut asing yang berdaftar dengan Jabatan Laut untuk berkhidmat di atas kapal-kapal yang beroperasi di perairan Brunei Darussalam. Oleh yang sedemikian, adalah penting bagi kita untuk terus berusaha untuk membangunkan kerjaya pelaut di kalangan anak tempatan ketahap yang lebih tinggi.

12)   Di kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) yang telah memperkenalkan dan melaksanakan skim tajaan bagi anak-anak tempatan yang berkelayakan dan berminat untuk menceburi bidang ke pelautan.

13)   Sehubungan itu, saya juga sukacita menyeru syarikat-syarikat perkapalan di Negara Brunei Darussalam, memberi lebih perhatian kepada ‘life-long learning' (pendidikan sepanjang hayat) ‘peningkatan kemahiran’ dan ‘pembangunan kerjaya’ bagi pelaut-pelaut di bawah kawalan syarikat masing-masing. Kemahiran pelaut-pelaut ini hendaklah dipertingkatkan dari masa kesemasa bersesuaian dengan teknologi moden yang semakin bertambah maju.

 

 

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

 

14)   Dalam usaha kita untuk meningkatkan dan membangunkan kerjaya pelaut ini, janganlah kita lupa dan alpa dengan aspek hak dan kebajikan para pelaut. Kebajikan mereka hendaklah sentiasa dipelihara bagi memastikan mereka bekerja di dalam persekitaran yang selamat dan selesa dan secara tidak langsung menyemarakkan semangat mereka untuk kekal di dalam kerjaya pelaut.

 

15)   ‘Maritime Labour Convention 2006’ yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada tahun 2006 merupakan satu langkah untuk memelihara kebajikan pelaut dan mewujudkan persekitaran kerja yang selesa di atas kapal.Konvensyen ini mengandungi peruntukan mengenai kehendak minimum bagi pelaut, keadaan tempat tinggal, keadaan pekerjaan, pemeliharaan kesihatan, perubatan dan kebajikan dan keselamatan sosial pelaut bagi memastikan piawaian minimum kebajikan pelaut terpelihara.

 

16)   Saya difahamkan bahawa pada ketika ini, Jabatan Laut bersama-sama dengan Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Buruh sedang berusaha dalam merangka Peraturan bagi melaksanakan Konvensyen Buruh Maritim 2006 di Brunei Darussalam. Saya penuh berharap dengan penguatkuasaan Peraturan itu nanti, akan dapat mempertingkatkan kebajikan pelaut-pelaut ini disamping memastikan agar pemilik-pemilik kapal mempunyai persaingan yang sama rata dengan menghapuskan kapal-kapal “sub-standard”.

 

 

Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian,

 

17)   Dalam mengakhiri ucapan saya, sekali lagi, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbang bakti, dedikasi dan pengorbanan serta peranan para pelaut dalam memperkasa industri perkapalan. Saya seterusnya berharap agar majlis ini akan membuka minda dan meningkatkan kesedaran penduduk Brunei Darussalam akan kepentingan pelaut dan pemeliharaan kebajikan dan keselamatan mereka.

 

Sekian.  Wabillahi taufiq Walhidayah. Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Maka dengan mendahulukan kalimah “Bismillahir Rahmanir Rahim”, Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W., dan bertawakkal Kehadrat Allah Subhanahu Wataala; saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Majlis Hari Pelabut 2013 pada hari ini.​

Attachments
Speeches