TEKS
UCAPAN YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH PAHLAWAN DATO SERI SETIA
AWANG HAJI ABDULLAH BIN BEGAWAN MUDIM DATO PADUKA HAJI BAKAR
MENTERI PERHUBUNGAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN IMEJ BARU PERKHIDMATAN BAS AWAM,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
PADA
HARI KHAMIS
21 SYAWAL 1434 BERSAMAAN 29 OGOS 2013
BERTEMPAT DI:
PUSAT KOMERSIAL DAN PERDAGANGAN BUMIPUTERA
& TERMINAL BAS BANDAR SERI BEGAWAN, DAERAH BRUNEI MUARA
BISMILLAH HIRRAHMAAN NIRRAHEEM.
ALHAMDULILLAH
HI RABBIL ‘ALAMEEN WASSALATU WASSALAMU ‘ALA ASYRAFIL AMBIYAA IWAL
MURSALEEN. SAIYIDINA MUHAMMADIN WA’ALA AALIHI WASAHBIHI AJMA’EEN.
Yang
Mulia Awang Haji Khalid bin Haji Mustafa, Pengarah Pengangkutan Darat
dan Pengerusi Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor selaku Pengerusi
Majlis.
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Brunei Muara,
Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Bahrin bin Mohd Noor, Pesuruhjaya Polis,
Yang Mulia Awang Haji Idris bin Haji Md Ali, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan,
Yang
Mulia-Yang Mulia: Pegawai Daerah Brunei Muara, Pengerusi Lembaga
Bandaran, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan
Ketua Jabatan, Ahli-Ahli Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor,
Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Jemputan-Jemputan Khas, wakil
agensi-agensi Kerajaan dan Swasta, Pengurus-Pengurus Syarikat Bas Daerah
Brunei Muara,
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
1.
Alhamdullillah segala puji dan syukur dipanjatkan kehadrat Allah
Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua dapat
kita berkumpul di majlis yang bermakna ini.
2.
Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada
Pengarah Pengangkutan Darat selaku Pengerusi Lembaga Melesen
Pengangkutan Bermotor, ahli-ahlinya dan pihak Jabatan Pengangkutan
Darat, pihak Jawatankuasa Kerja Majlis pagi ini diatas ingatan baik
menjemput saya hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya melancarkan
imej baru perkhidmatan bas awam pada pagi ini. Saya juga ingin mengambil
kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir
dan batin kepada abiskita semua yang ada pada majlis ini.
3.
Saya mengucapkan syabas dan terima kasih atas usaha-usaha gigih semua
pihak yang terlibat termasuklah Jabatan Bandaran, Jabatan Jalanraya
Jabatan Kerja Raya, Pasukan Polis Diraja Brunei, pengusaha-pengusaha bas
di Daerah Brunei Muara ini dan tidak lupa para media massa serta orang
ramai amnya. Mudah-mudahan kerjasama dan komitmen abiskita kearah
sama-sama menjayakannya akan mendapat balasan baik daripada Allah
Subhanahu Wata’ala jua, Aamin ya Rabbal Aalamien.
Hadirin dan hadirat sekalian,
4.
Seperti yang kita sedia maklum, terdapat dua kaedah (mode) pengangkutan
darat awam di Negara ini iaitu perkhidmatan bas dan teksi. Bagi
pengangkutan bas awam, kadar kenaikan jumlah penumpang bas sepanjang
tiga tahun kebelakangan ini mencecah kira-kira 2.8 juta penumpang secara
keseluruhan. Angka ini memberi gambaran bahawa memang terdapat kehendak
dan keperluan dikalangan orang awam untuk menggunakan bas awam.
5.
Walaubagaimanapun, perkhidmatan bas awam pada masa ini didapati kurang
menepati kehendak orang ramai seperti kurangnya maklumat jadual bas,
isu-isu kesalinghubungan (connectivity), kebolehpercayaan (reliability)
dan kekerapan (frequency) perkhidmatan bas-bas berkenaan serta
keselamatan dan keselesaan ruang dalaman bas. Perkara ini diambil maklum
dan diberi perhatian serius oleh Kementerian Perhubungan. Dalam hal
ini, adalah jelas bahawa perkhidmatan pengangkutan awam di Negara Brunei
Darussalam memerlukan penaiktrarafan dan pembaikan yang berterusan.
Begitu juga dengan perancangan yang lebih efektif untuk jangkamasa
pendek, sederhana dan panjang adalah sangat diperlukan dalam memberikan
beberapa pilihan perkhidmatan pengangkutan awam kepada orang ramai.
Walaupun penggunaan kenderaan persendirian akan tetap menjadi satu
pilihan utama diNegara ini, penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam
sebagai kaedah pengangkutan alternatif akan dapat membendung kesesakan
lalulintas di jalan raya. Dari itu, tindakan mempertingkat mutu
perkhidmatan bas awam seperti yang kita usahakan ini adalah satu
tindakan yang sentiasa diambil berat dan akan dilaksanakan secara
berterusan.
6.
Sebagai pengawalselia dan “Authority” bagi sektor pengangkutan secara
menyeluruh di Negara ini, Kementerian Perhubungan tetap komited untuk
mencapai teras-teras strategik didalam Perancangan Strategik Kementerian
Perhubungan 2008-2017. Antara yang terkandung didalam teras-teras
strategik ini adalah pengangkutan yang selamat, berdaya tahan, mesra
alam, merangkumi semua lapisan masyarakat (“social inclusion”)
serta menepati kehendak orang ramai seperti kos yang mengikut kemampuan
orang ramai (affordability) dan kebolehpercayaan (reliability).
7. Dengan
kajian dibawah Pelan Induk Pengangkutan Darat oleh Pusat Kajian
Strategik dan Dasar (CSPS) yang akan siap pada penghujung bulan
September ini nanti, Kementerian Perhubungan juga akan menyediakan
dasar-dasar pengangkutan awam yang relevan dan bersesuaian berdasarkan
kepada tujuh (7) tema iaitu:
(a)
Menyediakan Infrastruktur pengangkutan yang penting bagi memperbaiki
pengangkutan awam secara menyeluruh (Providing essential transportation
infrastructure).
(b) Mempromosikan penggunaan pengangkutan awam (Promoting Public Transport).
(c) Mempromosikan
kedayatahanan dan kos yang mengikut kemampuan orang ramai dalam
penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam (Promoting social
sustainability).
(d) Pengangkutan yang mesra alam sekitar dan memulihara penggunaan tenaga (Safeguarding the environment & conserving energy).
(e) Meningkatkan
kesalinghubungan pengangkutan dengan Negara serantau dan antarabangsa
(Enhancing the connections with regional and international gateways).
(f)Memperkukuhkan
institusi pentadbiran, pengurusan dan perlaksanaan pengangkutan di
Negara ini. (Strengthening governance, planning and delivery)
(g) Dan
kesemua tema ini menjurus kearah “Menangani isu-isu kebergantungan
kepada kenderaan persendirian dan kesesakan lalulintas (Tackling car
dependency and traffic congestion)
Dasar-dasar
baru ini akan mengambilkira jangkaan pertumbuhan penduduk dan jumlah
pekerja hasil dari aktiviti pembangungan ekonomi Negara menjelang tahun
2035. Ini adalah untuk memastikan pengangkutan awam Negara akan tetap
boleh dipercayai (reliable), kondusif, selamat, mesra alam dan seterusnya menjurus kearah pencapaian strategi teras Kementerian Perhubungan dan Wawasan 2035.
Hadirin dan hadirat sekalian,
8. Dalam
penyediaan dasar-dasar bidang pengangkutan di Negara ini, Kementerian
Perhubungan telah membuat beberapa pendekatan dengan merujuk kepada
amalan-amalan terbaik di negara-negaraSehubungan ini, usaha bagi
menaiktaraf kualiti perkhidmatan pengangkutan awam tidak hanya tertumpu
kepada pelancaran imej iaitu penukaran warna sahaja. Akan tetapi,
ianya adalah merangkumi pembaikan keseluruhan imej dan kualiti
perkhidmatan pengangkutan awam yang menekankan kepada perkara-perkara
berikut:-
- Pertama, keselesaan penumpang bagi memberikan pengalaman perjalanan yang menyenangkan dan selesa;
- Kedua,
penyediaan jadual bagi memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai
(reliability) dengan kekerapan (frequency) perkhidmatan bas mengikut
jadual yang ditetapkan. Isu kebolehpercayaan (reliability) dan juga kekerapan (frequency) ini,
Insya Allah akan ditangani dengan pelaksanaan dan pemantauan yang
berterusan keatas inisiatif-inisiatif strategik. Antara sasaran yang
dihasratkan adalah untuk mencapai pengurangan masa menunggu dari 30
minit yang ditetapkan pada masa ini kepada 15 minit dalam tempoh
jangkamasa 5 tahun atau kurang;
- Ketiga, penyediaan infrastruktur seperti perhentian bas yang lengkap dengan maklumat serta keadaan bas yang bersih; dan
- Keempat, keselamatan pengguna pengangkutan awam di Negara ini.
- Kelima,
memastikan setiap pemandu mempunyai kemahiran memandu melalui kaedah
latihan “defensive driving” dan juga memastikan bas-bas yang digunakan
adalah kondusif kepada keselamatan.
- Dan
keenam, imej korporat pengusaha bas awam ditonjolkan dengan baik
seperti pemakaian baju (uniform) yang kemas dan sesuai, perkhidmatan
yang mesra pelanggan.
Hadirin dan hadirat sekalian,
9. Kementerian
Perhubungan juga memberi perhatian yang serius bagi memastikan apa jua
dasar yang diperkenalkan atau perkhidmatan yang diberikan adalah mudah
untuk difahami dan digunakan oleh orang ramai. Kearah ini, bagi
memastikan perkhidmatan bas awam ini mudah difahami dan digunakan oleh
orang ramai, beberapa langkah akan diambil seperti:-
i. pemasangan Papan Tanda Elektronik (Electronic Signage) kan pada bas-bas awam;
ii. memanjangkan
tempoh masa operasi bas dari 12 jam kepada 14 jam iaitu memulakan
operasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang kepada 6 pagi hingga 8 malam;
dan
iii.mengemaskinikan
peta-peta laluan dan isi kandungan serta maklumatnya. Sebagai
permulaan, setakat ini, jadual-jadual perkhidmatan bas telah dipasang di
10 perhentian bas yang terpilih. Usaha ini akan dilaratkan kepada semua
perhentian bas yang lain di Negara ini
10. Melalui
perancangan dan langkah yang akan dan telah dilaksanakan ini, adalah
diharapkan tahap perkhidmatan menjadi lebih baik serta lebih meyakinkan
para pengguna. Maklumat dan kemudahan terkini serta perancangan
penggunaan sistem teknologi pengurusan bas awam dimasa akan datang,
adalah dipercayai akan menjamin pengguna yang pintar bagi pengangkutan
awam menuju kearah sasaran Kementerian ini dalam membangunkan masyarakat
pintar (smart society).
11. Dalam
sama-sama mengharapkan hasil daripada usaha-usaha ini dan juga untuk
memastikan perkhidmatan pengangkutan bas awam dan kaedah pengangkutan
lain diNegara ini berkesan, saya ingin menasihatkan kepada semua
pengusaha-pengusaha untuk sama-sama berganding bahu dan bekerjasama
kearah penubuhan satu konsortium atau dalam ertikata yang lain menuju
kearah ‘One operator’. Sistem ‘One Operator’ ini adalah satu amalan
terbaik yang telah terbukti di Negara-Negara lain dalam mencapai
objektif kearah sistem pengangkutan awam yang berkesan dan berdaya tahan
yang boleh memenuhi kehendak orang ramai dan mencapai skala ekonomi.
Dalam usaha memastikan keselesaan dan mempertingkatkan lagi imej bas
awam dinegara ini, Kementerian Perhubungan adalah dalam rangka menggubal
satu dasar yang berhubungkait dengan penentuan had usia bas awam yang
boleh beroperasi diNegara ini.
12. Untuk
usaha-usaha yang akan dilancarkan pada pagi ini dan juga inisiatif lain
yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat ini, saya menyeru kepada
pengusaha-pengusaha bas supaya akan memberikan kerjasama, komitmen dan
sokongan padu yang berterusan. Saya juga mengalu-alukan penglibatan
agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta yang lain dalam sama-sama
mendokong usaha penaiktarafan dan pembaikan sistem pengangkutan awam di
Negara ini.
13.Seterusnya,
saya juga ingin menyeru kepada orang ramai terutama sekali
pemandu-pemandu kenderaan persendirian untuk bekerjasama memberikan
laluan kepada bas awam semasa bas-bas ini beroperasi. Seruan dan nasihat
ini juga saya tujukan kepada pengguna jalanraya yang lain untuk tidak
meletakkan kenderaan mereka di perhentian-perhentian bas yang
ditetapkan. Tidak lupa juga saya menasihatkan para pengusaha bas untuk
memastikan semua pemandu dan konduktor bas awam sentiasa menunjukkan
sikap bersopan santun, mengikut peraturan-peraturan serta selalu
mementingkan keselamatan penumpang. Begitu juga kepada
penumpang-penumpang bas supaya akan dapat mengikut arahan yang diberikan
bagi menjamin keselamatan bersama. Kerjasama bersepadu daripada semua
pihak ini setentunya akan memberi impak yang ketara kearah menaiktaraf
dan memperbaiki sistem pengangkutan bas di Negara ini.
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
14. Bagi
mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Melesen Pengangkutan
Bermotor, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Bandaran, Jabatan
Jalanraya Jabatan Kerja Raya, Pasukan Polis Diraja Brunei,
pengusaha-pengusaha bas di Daerah Brunei Muara serta semua pihak yang
terlibat dalam menjayakan majlis pada pagi ini. Semoga usaha gigih dan
berterusan dalam mengungkayahkan penaiktarafan dan pembaikan sistem
pengangkutan bas awam di Negara ini akan tercapai dan mendapat kejayaan
yang diimpikan, Insya-Allah.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
DENGAN
MENDAHULUKAN KALIMAH “BISMILLAH HIRRAHMAAN NIRRAHEEM”, SELAWAT SERTA
SALAM KEATAS JUNJUNGAN BESAR KITA NABI MUHAMMAD SAW DAN BERTAWAKKAL KE
HADRAT ALLAH SUBHANAHU WAT’ALA, SAYA DENGAN AMAT SUKACITANYA MELANCARKAN
IMEJ BARU BAGI PERKHIDMATAN BAS AWAM NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.