TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH
PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDULLAH BIN BEGAWAN MUDIM DATO
PADUKA HAJI BAKAR MENTERI PERHUBUNGAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA: MAJLIS PELANCARAN NAMA BARU SISTEM MATA DEMERIT DAN PENGUMUMAN TARIKH PENGUATKUASAANNYA
HARI SELASA, 4 ZULKAEDAH 1434 HIJRAH BERSAMAAN
10 SEPTEMBER 2013 JAM : 10.00 PAGI
BERTEMPAT
DEWAN AMAR PAHLAWAN KEMENTERIAN PERHUBUNGAN
Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu
Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin
Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een. Yang Mulia Awang Haji Khalid bin
Hj Mustafa, Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat selaku Pengerusi Majlis.
Yang Mulia Awang Abdul Mutalib bin Pehin
Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohamad Yusof, Setiausaha Tetap
Kementerian Perhubungan selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan
Jalanraya (MKKJR)
Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang
Bahrin bin Mohd. Noor, Pesuruhjaya Polis selaku Timbalan Pengerusi I
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalanraya (MKKJR)
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Mulia Setiausaha Tetap- Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiauasaha Tetap
Yang Mulia-Yang Mulia Pegawai-Pegawai
Daerah, Ahli-Ahli MKKJR, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan,
Pegawai-Pegawai Kanan, Jemputan-Jemputan Khas, Hadirin dan Hadirat yang
dihormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Pagi
1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke
hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah mengizinkan kita berkumpul di
Majlis Pelancaran Nama Baru Sistem Mata Demerit Dan Pengumuman Tarikh
Penguatkuasaannya pada pagi ini. Syabas diucapkan kepada Majlis
Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) khususnya Jabatan Pengangkutan
Darat dan Pasukan Polis Diraja Brunei diatas usaha dan inisiatif yang
sangat bermakna ini.
2. Isu keselamatan jalanraya adalah satu
isu penting yang sangat mencabar dan membawa implikasi yang sangat
mendalam. Ianya isu yang berteraskan berbagai disiplin
(Interdisciplinary) dan berpunca dari berbagai penyebab. Dari itu,
setentunya ia memerlukan pendekatan yang menyeluruh atau holistik, dan
bersepadu dalam menanganinya.
3. Di seluruh dunia, kecederaan yang
berpunca dari kemalangan jalanraya adalah satu fenomena yang sangat
membimbangkan. Menurut ’Global Status Report On Road Safety 2013’, yang
dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 1.24 juta
nyawa terkorban dalam kemalangan jalanraya setiap tahun. Kecederaan
akibat dari kemalangan jalanraya ini telah banyak melibatkan kerugian
kepada individu, masyarakat secara keseluruhan dan ekonomi sesebuah
negara.
4. Negara Brunei Darussalam tidak
terkecuali menghadapi masalah yang sama. Mengikut statistik yang
diterima dari Pasukan Polis Diraja Brunei, sehingga 31 Ogos tahun 2013
ini, 24 nyawa telah terkorban akibat kemalangan jalanraya. Apa yang
semakin ketara dikebelakangan ini dan sangat membimbangkan ialah lebih
kurang 30% (7 orang) daripadanya telah melibatkan penunggang motosikal
dan pejalan kaki. 5. Antara penyebab kemalangan jalan raya adalah
faktor pemandu yang suka mengambil risiko. Dari penelitian yang telah
dijalankan, antara sikap memandu yang berisiko di Negara Brunei
Darussalam adalah seperti berikut:
i) Memandu dengan had laju yang berlebihan termasuk semasa hujan dan dalam keadaan jalanraya yang basah;
ii) Mengekori kenderaan didepan dengan jarak yang terlalu dekat ataupun tailgating;
iii) Menggunakan telefon bimbit khususnya membaca dan menghantar mesej semasa memandu;
iv) Melanggar lampu isyarat merah;
v) Tidak memakai tali pinggang keselamatan; dan
vi) Tidak bertimbang rasa dan perihatin
akan pengguna jalanraya yang lain terutama sekali semasa berada di
kawasan sekolah dan kawasan penyeberangan pejalan kaki.
Selain itu, terdapat juga beberapa kes
kemalangan yang disebabkan oleh pemandu dibawah pengaruh minuman keras.
Perkara ini adalah sangat menyedihkan.
6. Dalam sehubungan ini, melalui
penguatkuasaan undang-undang yang berkenaan, tabiat dan sikap pemandu
yang selalu mengambil risiko akan dapat dibendung dengan berkesannya.
Usaha ini juga dapat mengurangkan tahap kecederaan akibat dari
kemalangan jalanraya. Selain itu, WHO juga turut memberi pendekatan
yang tertumpu kepada menangani isu pemandu dan juga pengguna jalanraya
yang berisiko tinggi seperti penunggang basikal dan pejalan kaki. Dalam
kajian yang dibuat diperingkat sejagat, 27% dari jumlah keseluruhan
kematian akibat dari kemalangan jalanraya adalah terdiri daripada
penunggang basikal dan pejalan kaki.
Hadiran dan Hadirat Sekalian:
7. Melalui lawatan-lawatan yang dibuat
disetiap tapak kemalangan fatal, beberapa penemuan awal punca-punca
kemalangan tersebut telah dikenalpasti. Antara faktor utama kemalangan
jalanraya di Negara ini berlaku adalah berpunca daripada tabiat pemandu
yang kurang berwaspada. Tabiat seumpama ini termasuk memandu kenderaan
laju iaitu melebihi had kelajuan dengan sangat berlebihan. Apa yang
sangat membimbangkan lagi ialah adanya segelintir kes kemalangan
jalanraya yang melibatkan memandu ketika sedang mabuk.
8. Faktor sikap yang kurang berwaspada
ini banyak dikaitkan dengan punca kemalangan fatal diatas jalanraya
dinegara ini. Kajian awal yang telah dibuat oleh pihak Pusat Kajian
Keselamatan Jalanraya (CROSS) dan hasil dari lawatan-lawatan MKKJR ke
tempat-tempat kemalangan fatal menunjukkan tabiat pemandu merupakan
punca utama kemalangan jalanraya berlaku di Negara ini.
9. Selain dari tabiat dan sikap pemandu,
penemuan awal juga menunjukkan adanya segelintir kecil kes kemalangan
yang melibatkan faktor infrastruktur dan persekitaran yang boleh
diperbaiki. Sehubungan ini, beberapa langkah telah diambil, seperti
pemasangan tanda-tanda jalan dan lampu blinkers di kawasan selekoh.
Langkah ini akan diteruskan bagi menangani isu kemalangan jalanraya
secara keseluruhan dan juga yang melibatkan pengguna berisiko tinggi.
Dikesempatan ini, saya menyeru pihak MKKJR untuk memikirkan dasar-dasar
dan strategi yang bersesuaian untuk membendung peningkatan statistik
kemalangan dengan perhatian khusus kepada pengguna jalanraya berisiko
tinggi seperti pejalan kaki serta penunggang basikal dan motosikal.
Hadiran dan Hadirat Sekalian,
10. Sistem Mata Demerit adalah
merupakan antara satu daripada inisiatif dan program keselamatan
jalanraya yang bertujuan mendisiplinkan pemandu-pemandu di Negara ini
melalui penguatkuasaan dan pendidikan. Inisiatif ini adalah sebahagian
daripada rancangan MKKJR berdasarkan pendekatan “Psikologi, Teknologi
dan Bersepadu" (Psychological-Technological and Integrated approach)
yang tercatit dalam Blueprint Brunei Decade of Action for Road Safety
2011-2020.
11. In shaa Allah kita percaya,
disamping usaha-usaha yang berterusan dan dengan adanya sistem ini
dikuatkuasakan sepenuhnya, akan dapat membuahkan hasil yang kita
hasratkan iaitu mengurangkan kemalangan jalanraya dan kecederaan serta
kematian di Negara ini.
12. Sistem Mata Demerit ini juga telah
terbukti berkesan di Negara-Negara luar yang melaksanakannya. Mengikut
kajian , kesan setelah sistem ini mula diperkenalkan di negara-negara
Eropah dan di luar Eropah, sistem ini telah menunjukkan penurunan jumlah
kemalangan jalanraya, kematian dan kecederaan diantara 15-20%. Walaupun
demikian kesannya, kajian berkenaan juga menyarankan sistem
penguatkuasaan dan kempen keselamatan jalanraya mestilah sentiasa
diperbaiki dan ditingkatkan setiap masa supaya penurunannya akan menjadi
lebih berkesan.
13. Menyedari akan hakikat ini, saya
sarankan pihak MKKJR supaya akan bekerjasama dengan lebih rapat lagi
dengan Pusat Kajian Keselamatan Jalanraya (CROSS) dan agensi-agensi
penguatkuasa di Negara ini serta rakan sejawat di luar Negara. Selain
itu, kajian-kajian yang berkaitan dan relevan bagi memastikan sistem ini
akan sentiasa mampan dan berjaya harus diteruskan.
14. Untuk menjadikan pemandu di Negara
ini lebih berwaspada dan berkemahiran, Kementerian Perhubungan
sangat-sangat menekankan keperluan latihan defensive driving. Dari
latihan defensive driving ini, kemahiran dalam mengawal kenderaan pada
waktu-waktu kecemasan dan semasa keadaan jalan raya yang mencabar boleh
mengurangkan risko kemalangan. Selain itu, tahap kecederaan dan
kerosakan harta benda juga mungkin boleh dikurangkan dengan mengamalkan
tindakan defensive driving semasa sebarang kemalangan berlaku.
15. Dengan itu, semua inisiatif dan
program keselamatan jalanraya yang akan dilaksanakan akan menjadi lebih
fokus kearah Pemandu, Orang, Jalanraya, Kenderaan yang lebih selamat
(Safer Drivers, Safer People, Safer Roads and Safer Vehicles).
16. Saya juga menyarankan pihak MKKJR
supaya akan dapat meneliti semula dan menilai inisiatif dan program yang
telah dirancang dengan menggubal pelan strategik yang mensasarkan
penurunan kadar kemalangan di Negara ini menjelang tahun 2020. Ini
adalah penting supaya semua yang akan dilaksanakan akan dapat dipantau
dan diperbaiki dari masa kesemasa.
Hadirin dan hadirat sekalian,
17. Amalan-amalan terbaik dari luar
Negara menunjukkan bahawa untuk meningkatkan lagi keberkesanan
pelaksanaan sistem ini, pemasangan dan penggunaan alat-alat teknologi
bantu dalam penguatkuasaan seperti CCTV, Speed Camera, Red Light Camera
serta Mobile Surveillance Camera (Kamera Pengawasan Bergerak) adalah
perlu. Dengan alat-alat teknologi bantu ini, pemantauan dan
penguatkuasaan keatas sikap pemandu-pemandu dan pengguna-pengguna di
jalanraya akan lebih mudah dilaksanakan. Dalam hal ini, saya menyeru
pihak-pihak penguatkuasa supaya akan mempertingkatkan lagi usaha yang
telah dibuat selama ini dengan rondaan-rondaan dan aktiviti-aktiviti
penguatkuasaan bersepadu.
18. Pada majlis pagi ini, saya dengan
sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah
memperkenankan bagi sistem mata demerit di beri dengan nama baru, iaitu
Sistem Keselamatan Amalan Pemandu (SIKAP).
19. SIKAP iaitu “Sistem Keselamatan
Amalan Pemandu adalah nama yang difikirkan bersesuaian kerana tujuan
utama Sistem Mata Demerit adalah untuk memastikan pemandu di Negara ini
memandu kenderaan dengan SiKAP yang lebih berdisiplin, berhati-hati dan
mematuhi setiap peraturan lalulintas yang ada.
20. Perkataan SIKAP juga memberi mesej
kepada semua kategori pemandu untuk mengubah SIKAP memandu kepada
pemanduan selamat bagi kesejahteraan semua pengguna jalanraya. Kalau
perkataan SIKAP ini kita peringatkan dimulut-mulut kitani, In Shaa Allah
ia akan sentiasa mengingatkan kita supaya sentiasa bersikap timbang
rasa, sopan santun, berhemah dan bijak semasa memandu.
21. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga
telah memperkenankan bagi pindaan kepada Akta Lalulintas dan penggubalan
peraturan lalulintas (Sistem Mata Demerit) 2013. Sehubungan dengan itu,
saya dengan sukacitanya jua mengumukan bahawa TARIKH PENGUATKUASAAN
“SIKAP” AKAN bermula pada 1HB OKTOBER 2013. Penetapan tarikh ini adalah
untuk memastikan kita semua akan dapat bersedia dan memahami lagi sistem
ini dengan lebih mendalam.
Hadirin dan hadirat sekalian,
22. Sekali lagi, saya ucapkan syabas
kepada MKKJR terutama sekali Jabatan Pengangkutan Darat dan Pasukan
Polis Diraja Brunei atas inisiatif yang dilaksanakan. Komitmen semua
pihak dalam menangani isu keselamatan jalanraya adalah sangat dihargai.
Keselamatan Jalanraya adalah tanggungjawab kita semua bersama! Semoga
apa yang diusahakan ini akan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala
dan dapat menghasilkan dan membentuk pengguna yang bertanggungjawab,
berhemah dan berdisiplin.
Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
DENGAN KALIMAH BISMILLAHIR
RAHMANIRRAHIM, SELAWAT DAN SALAM KEATAS JUNJUNGAN KITA NABI MUHAMMAD
SALLALLAHI WA’ALAIHISSALAM, SAYA DENGAN SUKACITANYA MELANCARKAN NAMA
BARU BAGI SISTEM MATA DEMERIT IAITU “SIKAP”