Sign In
Mobirise Web Builder
Teks Ucapan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah Bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar Menteri Perhubungan Sempena Majlis Perletakan Batu Asas Bagi Pembinaan Terminal Bas Muara, 13 Sept 2014, Mukim Serasa

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDULLAH BIN BEGAWAN MUDIM DATO PADUKA HAJI BAKAR

MENTERI PERHUBUNGAN


SEMPENA

MAJLIS PERLETAKAN BATU ASAS BAGI PEMBINAAN TERMINAL BAS MUARA


PADA

HARI SABTU 18 ZULKAEDAH BERSAMAAN 13 SEPTEMBER 2014


BERTEMPAT DI:

LOT 6838, JALAN PELABUHAN MUARA PEKAN MUARA,

MUKIM SERASA




BISMILLAH HIRRAHMAAN NIRRAHEEM.

ALHAMDULILLAH HI RABBIL 'ALAMEEN WASSALATU WASSALAMU 'ALA ASYRAFIL AMBIYAA IWAL MURSALEEN. SAIYIDINA MUHAMMADIN WA'ALA AALIHI WASAHBIHI AJMA'EEN.

 

Yang Mulia Dr Hj Supry bin Hj Awang Ladi, Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat dan Pengerusi Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor selaku Pengerusi Majlis.

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Brunei Muara;

Yang Mulia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan.

Yang Mulia Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Hj Yunos, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan,

Yang Mulia Pegawai Daerah Brunei Muara, Pengerusi Lembaga Bandaran, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan, Ahli-Ahli Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Jemputan-Jemputan Khas, wakil agensi-agensi Kerajaan dan Swasta, Pengurus-Pengurus Syarikat Bas Daerah Brunei Muara, hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

 

 

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SELAMAT PETANG.

1. Alhamdullillah segala puji dan syukur dipanjatkan kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, dengan izin Nya jua, kita dapat berkumpul di Majlis Perletakan Batu Asas Bagi Pembinaan Terminal Bas Muara pada petang ini. 

2. Terlebih dahulu, saya sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Awg Haji Supry bin Haji Awang Ladi, Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat selaku Pengerusi Majlis, pegawai dan kakitangan Jabatan Pengangkutan Darat atas undangan bagi saya hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis ini.

3. Saya juga mengucapkan syabas atas usaha gigih semua pihak yang terlibat dalam mengungkayahkan projek ini dari proses perancangan hinggalah kehari ini. Mudah-mudahan kerjasama dan komitmen abiskita dalam projek ini akan terus kukuh sehingga Terminal Bas Muara ini selesai di bina dan beroperasi nanti.

 

Hadirin dan hadirat sekalian,

4. Perkhidmatan bas dan teksi merupakan dua kaedah pengangkutan awam yang masih mendapat sambutan dan diperlukan dikalangan orang awam.  Sejak imej baru perkhidmatan bas awam dilancarkan pada bulan Ogos 2013, saya difahamkan terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas awam di Daerah Brunei-Muara. Ini adalah satu petanda yang menggalakkan dan usaha-usaha yang berterusan haruslah ditingkatkan lagi.


5. Dalam masa yang sama, Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Pengangkutan Darat sedang membuat penilitian yang berterusan keatas kualiti perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan awam yang diberikan.  Dari maklumbalas orang ramai, didapati sesetengah perkhidmatan masih kurang menepati kehendak orang ramai.  Antaranya adalah dari segi kekerapan ('frequency'), ketepatan masa ('punctuality') dan perkhidmatan yang kurang konsisten.

 

6. Isu-isu kekurangan fasiliti bas awam seperti perhentian bas juga masih dihadapi dibeberapa kawasan di laluan bas awam. Perkara ini diambil maklum dan diberi perhatian serius oleh Kementerian Perhubungan dan JPD.

 

7. Seterusnya, usaha untuk lebih memantapkan perkhidmatan bas awam ini juga sedang dilaksanakan, khususnya melalui perundingan lanjut diantara JPD dan para pengusaha bas awam yang diadakan secara berterusan dari masa kesemasa.  Dalam hal ini jua, dan hasil dari perundingan yang diadakan, usaha-usaha penubuhan 'Konsortium Bas Awam' atau yang seumpamanya, seperti yang telah saya sarankan pada tahun lalu, sedang giat dijalankan untuk penelitian lanjut Kementerian Perhubungan.

 

 

Hadirin dan Hadirat sekalian;

8. Dalam usaha menggalakkan pengunaan pengangkutan awam di Negara ini, Kementerian ini telah mengenalpasti perkhidmatan pengangkutan bas awam sebagai salah satu kaedah pengangkutan alternatif kepada pengangkutan persendirian yang masih menjadi pilihan pertama pada masa ini.   Langkah kearah penyediaan perkhidmatan bas awam yang lebih mantap ini adalah selaras dengan strategi dan dasar yang disarankan dalam Pelan Induk Pengangkutan Darat Negara (Land Transport Master Plan – LTMP).  
 

9. Pelan Induk atau LTMP yang sudah siap untuk pemberigaan seterusnya, mengambilkira jangkaan pertumbuhan penduduk dan ekonomi Negara menjelang tahun 2035.  Ianya bertujuan untuk menyediakan satu sistem Pengangkutan Darat yang mampan dan memastikan pengangkutan awam Negara akan tetap boleh dipercayai (reliable), kondusif, selamat dan mesra alam. 

10. Pelaksanaan LTMP ini adalah selaras dengan visi Kementerian Perhubungan untuk mencapai sebuah Masyarakat Pintar menjelang 2017. Apa yang dihasratkan dalam visi Masyarakat Pintar ini adalah masyarakat yang mempunyai pilihan dan alternatif, yang dapat menjalankan urusan harian mereka dengan mudah, 'simple' dan penuh efektif, khususnya dari segi masa dan sumber (resources).       

11. Hasil dari kajian yang telah dibuat dalam LTMP ini, empat (4) STRATEGI UTAMA telah dicadangkan bagi pelaksanaan sehingga dan selepas tahun 2035, iaitu:

 

    1. Strategi pertama ialah "REDUCING CAR DEPENDENCY" (iaitu mengurangkan ke-bergantungan kepada kereta);
       
    2. Strategi kedua ialah "KEEP TRAFFIC MOVING" ataupun mengurangkan kesesakan lalulintas;
       
    3. Strategi ketiga ialah "ACHIEVING SUSTAINABLE SOCIETY" (iaitu mencapai masyarakat yang berdayatahan).  Penekanan strategi ini merujuk kepada dasar-dasar yang menjurus kepada pengangkutan dan kenderaan berteknologi hijau dan mesra alam sekitar termasuk kenderaan pengangkutan awam; dan
       
    4. Strategi keempat ialah "STRENGTHENING GOVERNANCE" (iaitu pengukuhan sistem urustadbir pengangkutan darat yang lebih berkesan).
       
      Lanjutan dari ini, saya difahamkan bahawa satu Kertas Putih LTMP akan di lancarkan dalam masa yang terdekat ini nanti, InshaAllah.

       

Hadirin dan Hadirat sekalian;

12. Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Pengangkutan Darat adalah terus komited untuk mencapai teras-teras strategik didalam Perancangan Strategik Kementerian Perhubungan 2008-2017.  Projek Terminal Bas Muara yang akan dijangka siap pada bulan Mac 2015, merupakan satu daripada beberapa projek yang telah dirancang dan dalam perlaksanaan sebagai usaha kearah peningkatan tahap perkhidmatan pengangkutan awam di Negara ini.

13. Melalui perancangan dan langkah yang telah dan akan dilaksanakan nanti, saya penuh berharap dan percaya tahap perkhidmatan akan menjadi lebih baik, selesa serta lebih meyakinkan para pengguna.  Bagi mendukung perancangan dan usaha-usaha ini,  saya sarankan kepada pengusaha-pengusaha bas awam supaya akan memberikan kerjasama, komitmen dan sokongan padu yang berterusan.

14. Di kesempatan ini, saya juga mengalu-alukan penglibatan agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta yang lain dalam sama-sama mendukung usaha penaiktarafan dan pembaikan sistem pengangkutan awam di Negara ini.

 

 

Hadirin dan hadirat sekalian,

15. Bagi mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan-Jabatan dan agensi-agensi yang berkenaan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada petang ini.

16. Semoga usaha gigih yang berterusan dalam mengungkayahkan projek ini dan juga projek-projek menaiktaraf dan memperbaiki sistem pengangkutan bas awam di Negara ini akan tercapai dan mendapat kejayaan yang diimpikan, InsyaAllah.

 

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah. Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.​

Attachments
Speeches