UCAPAN
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH
PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDULLAH
BIN BEGAWAN MUDIM DATO PADUKA HAJI BAKAR,
MENTERI PERHUBUNGAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
MAJLIS PELANCARAN BUKU
"SAFE & SMART DRIVING IN
BRUNEI DARUSSALAM"
HARI RABU
14 RABIULAWAL 1436/ 7 JANUARI 2015; 9.00
Pagi
DEWAN AMAR PAHLAWAN
KEMENTERIAN PERHUBUNGAN
BISMILLAH HIRRAHMAAN NIRRAHEEM.
ALHAMDULILLAH
HI RABBIL 'ALAMEEN WASSALATU WASSALAMU 'ALA ASYRAFIL AMBIYAA IWAL
MURSALEEN. SAIYIDINA MUHAMMADIN WA'ALA AALIHI WASAHBIHI AJMA'EEN.
Yang
Mulia Dr Hj Supry bin Hj Ag Ladi, Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat
selaku Timbalan Pengerusi II Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya
dan Pengerusi Majlis pada pagi ini,
Yang
Mulia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka
Hj Mohd Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan selaku Pengerusi
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya,
Yang Mulia Dyg Hajah Airah Haji Abdullah,
Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan.
Ahli-Ahli
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, Pengarah-Pengarah,
Timbalan-Timbalan Pengarah, Jemputan-Jemputan Khas, Pegawai-Pegawai
Kanan, Hadirin dan Hadirat Sekalian.
ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAHI TA'ALA WABARAKATUH DAN SELAMAT PAGI.
1.
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana
dengan izinNya jua kita dapat mengadakan Majlis Pelancaran buku "Safe
and Smart Driving in Brunei Darussalam" di awal tahun 2015M ini.
2.
Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah
kepada Jabatan Pengangkutan Darat atas usahasama biskita dengan Majlis
Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, serta bersama setiap individu yang
terlibat dalam usaha penerbitan buku ini.
3. Saya
sangat menghargai usahasama biskita ini. Ianya menggambarkan perlunya
kerjasama dari pelbagai pihak untuk memastikan setiap dasar yang digubal
dan peraturan yang akan dilaksanakan adalah menyeluruh dan mudah
difahami.
4. Atas keperluan ini juga, kesepakatan
kita untuk membentuk pengguna jalanraya yang lebih selamat dan bijak,
Alhamdulillah, telah dapat menghasilkan buku "Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam".
Hadirin dan hadirat sekalian,
5. Pelancaran buku "Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam"
ini adalah satu permulaan yang menggalakkan bagi tahun 2015. Melihat
kembali tahun 2014, saya ingin mengimbas beberapa perkara khususnya
berkaitan dengan penggunaan jalan raya:-
Pertama,
Pelancaran Land Transport Master Plan yang telah mengenalpasti empat
(4) strategi utama kearah pembangunan sektor pengangkutan yang
menyeluruh; dan
Kedua,
Kertas Putih Pengangkutan Darat (Land Transport White Paper) sebagai
asas kepada Strategi Pengangkutan Darat Kebangsaaan (National Land
Transport Strategy) serta pelan pelaksanaannya.
6.
Sepanjang tahun 2014 juga, Alhamdulillah kita dapat melihat penurunan
dalam jumlah kemalangan jalanraya, kadar kecederaan dan kadar kematian
dari kemalangan jalan raya.
7. Dalam pada itu, saya berharap
kita tidak akan merasa berpuas hati atau 'complacent' atas apa yang
direkodkan ini. Usaha untuk mengekalkan momentum dan kewaspadaan
pengguna perlu diteruskan. Dari itu, penerbitan buku ini adalah antara
usaha berterusan untuk membentuk pengguna jalan raya yang bermaklumat
dan mampu membuat tindakan yang bijak.
8. Pengguna sebeginilah
yang akan membentuk Masyarakat Pintar (Smart Society) seperti yang
dihasratkan. Mereka dapat memanfaatkan maklumat, membuat tindakan yang
bijak, mengutamakan keselamatan, mengamalkan sikap yang berhemah dan
mematuhi peraturan lalu lintas.
Hadirin dan Hadirat Sekalian,
9. Penerbitan buku "Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam"
ini juga merupakan inisiatif Kementerian Perhubungan dalam memastikan
sistem pengangkutan darat di Negara Brunei Darussalam diurus tadbir
secara sistematik dan berkesan.
10. Dalam hal ini, usaha kearah
keberkesanan sistem dan pemberian perkhidmatan akan terus diungkayahkan
oleh Jabatan Pengangkutan Darat. Dari itu, buku ini turut mengandungi
maklumat mengenai hal ehwal peroperasian di JPD seperti perlesenan,
pendaftaran dan pemeliharaan kenderaan.
11.
Dengan adanya maklumat ini sebagai rujukan, diharapkan urusan akan
menjadi semakin mudah dan ringkas. Pendekatan berteraskan pendidikan
ini dan penyebaran maklumat secara efektif akan dipertingkatkan dari
masa kesemasa. Ianya juga adalah selaras dengan Pelan Tindakan Negara "Decade of Action for Road Safety 2011-2020".
12.
Bersandarkan kepada pendekatan ini, saya ingin menekankan kepada
Jabatan Pengangkutan Darat agar sentiasa meningkatkan usaha dalam
memberikan maklumat yang terkini dan tepat kepada pengguna. Terapkanlah
langkah ini sebagai salah satu kaedah untuk memberikan perkhidmatan
yang sebaik mungkin kepada pengguna.
13. Dari itu, saya menyeru agar langkah 'reaching out to the public'
ini, khususnya bagi perkara yang mempunyai hubung kait secara terus
(direct) dengan orang ramai untuk dijalankan dari masa ke semasa. Saya
ingin mengambil contoh usaha bagi memastikan lesen kenderaan (road tax)
dan plet lesen kenderaan sebagai item yang tidak mudah rosak dan kabur.
14.
Saya difahamkan pihak JPD sedang mengenalpasti langkah penyelesaian
bagi perkara-perkara ini dengan mengadakan kerjasama bersama pelbagai
pihak, termasuk para pembekal. Perkara sebegini akan dapat menyumbang
kepada perkhidmatan yang menjadi kemudahan (convenience) kepada
orang ramai. Dari itu, saya menyarankan JPD akan sentiasa mengongsikan
sebarang maklumat serta perkembangan yang terkini dan tepat kepada
pengguna.
Hadirin dan hadirat sekalian,
15.
Dalam sektor pengangkutan, khususnya pengangkutan darat dan aspek
keselamatan jalan raya, kita memerlukan pendekatan yang lebih inovatif,
komitmen yang berterusan dan kehendak [will] – secara peribadi dan
kehendak politik [political will] – untuk memperlihatkan hasil yang
lebih signifikan dan impak yang berkesan.
16.
Usaha dan kerjasama kita bersama pihak Polis DiRaja Brunei dalam
menguatkuasakan peraturan lalulintas di jalanraya dan dalam mendokong
Sistem Keselamatan Amalan Pemandu (SiKAP), Alhamdulillah, telah
menunjukkan kesan yang positif.
17. Ini menandakan
kesedaran dikalangan pemandu dan orang ramai adalah meningkat. Saya
berharap kesedaran ini akan berterusan dan bertiti kepada generasi
kitani yang akan datang. Insya Allah kita akan dapat mencapai sasaran
yang kita harapkan dan lebih utama, akan dapat menurunkan kadar kematian
dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya di Negara ini.
Hadirin dan hadirat sekalian,
18. Buku "Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam"
ini akan dikemaskini dari masa ke semasa. Langkah ini adalah bagi
memastikan ianya kekal relevan dengan perkembangan teknologi
pengangkutan darat dan kehendak pengguna jalan raya. Selain itu,
ciri-ciri keselamatan berlandaskan amalan terbaik serantau dan
antarabangsa akan turut dikemaskini, bagi menuju kearah "safer" dan "smarter driving in Brunei Darussalam".
19.
Seterusnya, dengan maklumat seperti "Car Safety features" yang ada
didalam buku ini, saya berharap JPD akan dapat memanfaatkannya untuk
proses penyediaan dasar dan pelaksanaan peraturan kearah kenderaan yang
lebih selamat.
20. Antaranya adalah dengan memperkenalkan New
Car Assessment Program (NCAP) agar pengguna dapat membuat pilihan yang
berlandaskan ciri-ciri keselamatan, dan bukannya berdasarkan harga,
spesifikasi dan design kenderaan semata-mata. Kearah ini, kerjasama
dengan pihak-pihak berkepentingan seperti pihak Polis Diraja Brunei,
Pusat Penyelidikan Pengangkutan (Centre for Transport Research - CFTR),
para pembekal kereta perlu dikukuhkan lagi untuk memastikan pendekatan
yang menyeluruh dan seimbang.
Hadirin dan Hadirat Sekalian;
21.
Di akhir ucapan ini, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada Jabatan
Pengangkutan Darat dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan
Raya diatas pelancaran ulung buku panduan "Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam". Ini merupakan bukti komitmen yang berterusan kearah masyarakat SELAMAT dan PINTAR di Negara Brunei Darussalam.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh.