Sign In
Mobirise Web Builder
Ucapan Yang Berhormat Menteri Perhubungan sempena Hari Kajicuaca 2015 pada 23 Mac 2015

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH PAHLAWAN

DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDULLAH

BIN BEGAWAN MUDIM DATO PADUKA HAJI BAKAR

MENTERI PERHUBUNGAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

 

SEMPENA:

HARI KAJICUACA SEDUNIA 2015

 

PADA:

HARI ISNIN, 2HB JAMADILAKHIR 1436 / 23HB MAC 2015

JAM: 2 PETANG

 

BERTEMPAT DI:

                                                               

TINGKAT BAWAH, TIMES SQUARE,  BERAKAS

Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama'een.

Yang Mulia Awang Muhamad Husaini bin Aji, Pemangku Pengarah Kajicuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam selaku Pengerusi Majlis,

 

Yang Mulia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohamad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan,

 

Yang Mulia Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Yunos, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan,

 

Yang Mulia, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian.

​ 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

 

1.          Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah mengizinkan kita berkumpul pada pagi ini bagi Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia Tahun 2015.

 

Tema Hari Kajicuaca Sedunia 2015

 

2.      Pada tahun ini tema sambutan yang telah dipilih oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) ialah 'Pengetahuan Iklim untuk Tindakan Iklim' atau 'Climate Knowledge for Climate Action'.  Tema ini bersesuaian bagi keadaan masa kini, bilamana perubahan iklim atau climate change sudah menjadi satu isu yang diakui sebagai kebimbangan global.

 

Kaitan Tema dengan JKBD

 

3.          Dalam perutusan Setiausaha Agung WMO, sempena Hari Kajicuaca Sedunia 2015 ini,  beliau menyentuh bahawa kemajuan dalam sains meteorologi dan klimatologi, dalam tempoh 50 tahun ini, telah menyumbang pada peningkatan ketepatan dan keberkesanan ramalan cuaca dan juga ramalan iklim bermusim. Ini adalah hasil dari kemajuan dalam bidang remote sensing seperti :

    1. Pengawasan radar dan satelit cuaca;
    2. Peningkatan kuasa komputer dan peningkatan kefahaman; dan
    3. Pengetahuan cuaca dan iklim.

       

4.          Perkara ini amat ketara dilihat dari segi kemampuan untuk menyediakan maklumat-maklumat cuaca yang cepat dan sahih.  Contohnya di sepanjang tahun 2014 sahaja, sejumlah 117 amaran awal cuaca awam atau pun early warnings telah pun dapat dikeluarkan dalam tempoh 1 ke 6 jam sebelum kejadian berlaku di kawasan-kawasan negara kita. 

 

5.          Keberkesanan penyebaran early warnings ini juga telah dipertingkatkan dengan menggunakan kaedah teknologi mobile.  Kebanyakkan di antara kita yang telah memuat turun aplikasi seperti Brunei Weather Apps dan juga Mobile Weather Crowd sudah merasakan peningkatan khidmat yang diberikan.

 

6.          Peningkatan perkhidmatan seperti ini telah dapat memudahcara pelbagai pihak dalam memegang tanggungjawab dan menjalankan aktiviti masing-masing.  Antara contoh adalah seperti:

 

    1.  Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam bersiap-siaga menangani bencana yang berkaitan dengan cuaca; dan
    2.  Jabatan Perkhidmatan Air dalam membuat perancangan dan pengurusan air semasa musim kemarau.

       

7.          Sambil itu peningkatan perkhidmatan ini juga dapat memudahcara orang ramai membuat keputusan yang bijak bagi sebarang aktiviti yang dirancang samaada untuk bersukan, beriadah ataupun melakukan kerja-kerja rumah. Dari perspektif Kementerian Perhubungan kemajuan ini adalah satu lagi langkah positif ke arah visi untuk mengujudkan sebuah masyarakat pintar di Negara kita.

 

Hadirin dan hadirat,

 

8.          Pada masa yang sama, saya sukacita mengalu-alukan perlaksanaan beberapa projek penting yang dijalankan oleh Jabatan Kajicuaca Kementerian Perhubungan. Antara beberapa projek yang diutamakan adalah, Pertama - keperluan bagi memenuhi piawaian antarabangsa dititik beratkan.  Saya difahamkan bahawa Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan memperolehi pensijilan Quality Management System ISO 9001:2008  dalam sedikit masa lagi. 

 

9.          Kedua, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam juga telah menyediakan sistem bagi mengesan fenomena perubahan angin dan udara yang mengejut yang berisiko kepada pesawat dan bertolak dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei melalui projek Low Level Windshear Alert System (LLWAS). LLWAS adalah satu projek dalam Rancangan Kemajuan Negara. 

 

10.      Sistem ini telah mula beroperasi pada bulan Januari tahun ini.  Kedua-dua usaha ini akan membolehkan Negara Brunei Darussalam memenuhi kehendak antarabangsa khususnya dibidang penyediaan khidmat cuaca penerbangan yang ditetapkan oleh WMO dan juga Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

 

11.      Ketiga, negara kita juga tidak kendur-kendur berusaha untuk membangun kapasiti dalam bidang iklim. Saya maklum, selaku autoriti kebangsaan dalam ehwal yang berkaitan dengan cuaca dan iklim, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam juga sedang mengungkayahkan program pemasangan model berangka atau climate modelling bagi negara kita.

 

12.      Melalui program ini juga beberapa pegawai telah pun menjalani kursus di United Kingdom dan juga berpeluang membuat lawatan kerja ke agensi kajicuaca luar negara seperti di Singapura dan Filipina untuk meninjau pelaksanaan climate modelling masing-masing. Sambil itu juga saya menyarankan supaya usaha peningkatan kapasiti ini akan sentiasa diteruskan untuk menambah lagi dan memastikan kesinambungan dan kedayatahanan kepakaran tempatan bagi Jabatan Kajicuaca.

 

13.      Pada hakikatnya apa yang ditekankan melalui tema Hari Kajicuaca Sedunia tahun ini adalah melalui pengetahuan iklim dan cuaca, kita akan dapat membuat tindakan-tindakan yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan manusia dan juga keselamatan harta benda pada hari ini dan sehinggalah kepenghujung abad ke-21.

 

 

 

Pencapaian JKBD

 

14.      Pada hari yang bermakna ini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam bagi mewakili Kementerian Perhubungan kerana telah memenangi Anugerah Gangsa dalam Anugerah Cemerlang Perkhdimatan Awam Tahun 2014 yang lalu dan juga memenangi Anugerah Gangsa Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2014.  Syabas sekali lagi.

 

Hadirin dan hadirat,

 

Saya dimaklumkan bahawa pada majlis ini, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan memperkenalkan Jenama Korporat yang baru. Adalah menjadi hasrat saya penjenamaan korporat ini akan dapat menonjolkan satu brand Jabatan yang mudah dikenali dan dipercayai oleh para penggunanya.  Saya juga berharap nilai-nilai korporat antaralainnya seperti berikut akan dapat dihayati oleh semua pegawai dan kakitangan Jabatan Kajicuaca :

  • Semangat (Passion);
  • Komitmen (Commitment);
  • Keperihatinan (Care);
  • Iltizam;
  • Inovatif (Innovation);  dan
  • Kebolehkepercayaan (Trust)

     

15.      Untuk mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas kepada Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam atas acara yang diadakan dan pelaksanaan Penjenamaan Korporat (Corporate Branding) yang akan dilancarkan ini. Saya percaya pihak Jabatan Kajicuaca akan dapat meneruskan lagi inisiatif-inisiatif baru yang membangun dan menyumbang ke arah visi Kementerian dan Negara. 

 

16.      Dengan kalimah  dan  bertawakal kepada Allah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., saya sukacita merasmikan Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2015 dengan tema "Climate Knowledge for Climate Action" ataupun "Pengetahuan Iklim untuk Tindakan Iklim" dan merasmikan 'Penjenamaan Korporat Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam'.

 

17.      Sekian. Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments
Speeches