Sign In
Mobirise Web Builder
Majlis Pelancaran Hari Kajicuaca Sedunia bagi Tahun 2008

TEKS UCAPAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong
Menteri Perhubungan

Tingkat Satu, Hua Ho Manggis Mall, Jalan Muara
Sabtu, 14 Rabiulawal 1429 bersamaan 22 Mac 2008

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, yang telah mengizinkan kita berkumpul pada petang ini di Majlis Pelancaran Hari Kajicuaca Sedunia bagi tahun 2008, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam, kerabat dan para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda sekalian. 

Terlebih dahulu saya sukacita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pemangku Pengarah Penerbangan Awam selaku Pengerusi Majlis atas daya usaha mengadakan Majlis Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia pada petang ini.

Tema bagi hari kajicuaca sedunia pada tahun ini ialah “Observing Our Planet For Better Future” ataupun “Mencerap Planet Kita Untuk Masa Depan Yang Lebih Baik”. Tema ini mengingkatkan kita faedah-faedah saintifik dalam peningkatan bersepadu ke semua sistem pencerpan menerusi penubuhan struktur yang menyeluruh, memastikan komponen sistem boleh dikendali termasuk perkembangan dan pelaksanaan sistem maklumat sepertimana dalam rancangan strategik Pertubuhan Kajicuaca Sedunia.

Sejak tahun 1951 apabila Pertubuhan Kajicuaca Sedunia telah dilantik sebagai agensi khusus di bawah sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, banyak perkembangan-perkembangan telah dicapai oleh ahli-ahli sains. Sehingga kini satelit-satelit buatan telah mengelilingi planet dan memberikan gambaran dan maklumat penting yang sebenar akan kejadian-kejadian semula jadi awan dan cuaca serta ramalan cuaca berangka (numerical weather prediction) menggunakan sistem komputer.

Pencapaian teknologi maklumat ini telah mendorong komuniti saintifik bagi meneroka atau membuat perancangan untuk memanfaatkan peluang-peluang yang baru. Antara  pencapaian yang telah dihasilkan ialah sistem pencerapan sejagat bersepadu yang menetapkan sebagai keutamaan kepada keperluan perkhidmatan yang berkaitan dengan cuaca, iklim dan air. Kunci utama adalah keupayaan setiap ahli dalam menyediakan maklumat dengan tegas, tepat, dan boleh dipercayai.

Tiga komponen dasar iaitu Global Atmospheric Research Programme (GARP), World Weather Watch (WWW) dan juga Global Observing System (GOS) telah menjadi program asas bagi piawaian, pengumpulan, penganalisaan, pemprosesan dan pengagihan keseluruh dunia. Selain itu ianya mengandungi semua kemudahan di darat dan di laut, di udara dan di angkasa lepas bagi pencerapan dan sukatan.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap perkhidmatan kajicuaca setiap negara untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, tepat dan efisien supaya tindakan-tindakan awal dapat diungkayahkan agar pendedahan terhadap cuaca dan iklim di planet kita ini dapat dikurangkan.

Akhir-akhir ini, semakin banyak kejadian bencana alam yang berkait langsung dengan cuaca dan iklim di seluruh dunia telah berlaku termasuk juga negara kita, walau pun ianya tidak begitu serius sebagaimana negara-negara lain. Kejadian-kejadian ini telah mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan harta benda malah kehilangan nyawa.

Dalam hubungan ini, peningkatan ramalan-ramalan cuaca dan iklim secara rangkaian disamping amaran-amaran awal yang berkesan telah terbukti boleh mengurangkan jumlah korban jiwa dan kerosakan harta benda. Khidmat amaran dan ramalan cuaca yang meningkat dari segi kualiti dan keberkesanannya dapat menyumbang kepada penurunan jumlah kematian.

Dengan kekerapan berlakunya kejadian-kejadian seumpama ini adalah mustahak supaya perkhidmatan kajicuaca negara ini, sebagai ahli Pertubuhan kajicuaca sedunia, seharusnya dapat memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memantau dan menggunakan maklumat-maklumat dan mengongsikannya dengan agensi-agensi lain di negara dalam sama-sama berusaha mengurangkan kesan kejadian-kejadian cuaca, iklim dan air.

Dalam hal ini, Jabatan Penerbangan Awam sebagai agensi Kerajaan yang ulung dalam perkhidmatan kajicuaca, akan terus berusaha dalam menyediakan perkhidmatan kajicuaca yang lebih baik dan juga akan mengungkayahkan usaha-usaha dan projek-projek peningkatan yang bermatlamat ke arah penyampaian perkhidmatan yang bermutu tinggi, efisien dan reliable.

Antara peningkatan yang dibuat ialah penyampaian amaran maklumat cuaca dengan mengeluarkan kriteria-kriteria amaran. Dalam sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk Negara Brunei Darussalam, peningkatan perkhidmatan seperti ini perlu diteruskan dengan memberi pendedahan dan kefahaman kepada orang ramai tentang bencana dan malapetaka dari perubahan cuaca.

Menyedari akan pentingnya peranan keselamatan (safety) di dalam memajukan penerbangan awam dan industri pengangkutan udara di Negara Brunei Darussalam ini, Pelan Strategik Kementerian Perhubungan, dalam memajukan Negara Brunei Darussalam telah menggariskanmisinya untuk menyediakan “safe, efficient, accessible and secure communications so as to enhance national competitiveness and quality of life in the knowledge-based economy”.

Bagi mendokong matlamat strategik ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah meluluskan beberapa projek di Jabatan Penerbangan Awam di bawah Rancangan Kemajuan Negara 2007-2012. Antaranya adalah berkaitan dengan ramalan dan kajian kajicuaca seperti ‘replacement weather radar system’, ‘low level wind shear alert system (llwas)’ dan ‘system for wind profiling and echo registering (swiper)’.  Rancangan-rancangan ini apabila dilaksanakan akan boleh mengesan pergerakan mikrobust dan juga angin shear secara realtime.  Maklumat penting ini akan diberikan kepada juruterbang sebelum pesawat mendarat dan berlepas. 

Projek-projek ini juga menandakan usaha berterusan untuk meningkatkan keselamatan pesawat-pesawat yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sepertimana keperluan dalam piawaian  Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan juga selaras dengan perancangan strategik Kementerian Perhubungan bagi mempastikan Lapangan Terbang sentiasa terkawal dari segi keselamatan. 

Di antara projek yang dapat meningkatkan operasi adalah, projek-projek penggantian meteorological message switching system dan perhubungan leased line - global telecommunication system (msss-gts) dan sistem penerimaan satelit maklumat, data dan product penerbangan (iscs) yang telah siap dilaksanakan dan merupakan satu kejayaan bagi Jabatan Penerbangan Awam dalam meneroka peralatan atau sistem yang terkini setanding dengan negara-negara ahli ICAO yang lain.

Saya penuh yakin projek ‘peningkatan laman web perkhidmatan kajicuaca’ yang akan dilancarkan pada petang ini akan dapat memberikan maklumat dan produk cuaca dengan berasaskan web portal untuk orang ramai melayarinya. Sasaran utama sistem ini adalah agensi-agensi yang lazim menggunakan maklumat cuaca khususnya syarikat-syarikat penerbangan, Angkatan Tentera Udara Diraja Brunei, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, syarikat-syarikat penerbangan, Radio Televisyen Brunei dan orang ramai.

Saya juga difahamkan ‘web-server’ yang dimaksudkan akan mengandungi ramalan-ramalan cuaca terkini dan juga maklumat-maklumat cuaca penerbangan yang akan dapat digunakan oleh pengguna-pengguna bagi memudahkan perhubungan dan membantu mempercepatkan proses-proses kerja serta membantu dalam pembuatan maklumat-maklumat cuaca lebih tepat. 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Penerbangan Awam di atas usaha-usaha yang telah dibuat dengan mengambil kira perkembangan dan menggunakan secara sepenuhnya teknologi yang sedia ada bagi kepentingan negara kita.

Memandangkan tugas dan peranan perkhidmatan kajicuaca bukan sahaja mengutamakan kepada keselamatan penerbangan tetapi menjurus kepada keselamatan dan kesejahteraan penduduk negara ini, dalam hal ini saya menyarankan supaya perkhidmatan kajicuaca sentiasa memantau dan me’review’ dari semasa ke semasa pelan strategiknya dan menjadikannya sentiasa relevan dan berfungsi ke arah merealisasikan wawasan negara 2035 dan juga perancangan strategik Kementerian Perhubungan yang mana lebih memfokuskan  keselamatan, kemajuan sosio ekonomi dan juga kesejahteraan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Sekian Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments
Speeches