Sign In
Mobirise Web Builder
Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik 2008 - 2017

TEKS UCAPAN 

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong
Menteri Perhubungan 

 Isnin, 22 Rabiulakhir 1429 bersamaan 28 April 2008

 

Assalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Yang Mulia Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, selaku Pengerusi Majlis,

Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri, Tuan-Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Besar,

Yang Mulia Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap dan Timbalan - Timbalan Setiausaha Tetap.

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana dengan Izin dan Rahmat Nya jua, Kementerian Perhubungan telah berjaya menyediakan Buku Pelan Strategik 2008-2017 yang merupakan kesinambungan kepada Peta Jalan 2004-2024 (Road Map 2024).

Pelan Strategik 2008-2017 ini adalah penelitian semula visi, misi dan strategi Kementerian Perhubungan yang termuat dalam Peta Jalan 2024 (Road Map2024) dan menyelaraskannya dengan perkembangan, perubahan dan cabaran-cabaran baru khasnya dalam industri perhubungan dan pengangkutan pada masa ini.

Ia merupakan satu usaha dan pendekatan untuk merealisasi dan mentafsirkan aspirasi Peta Jalan 2024 serta Wawasan Brunei 2035 menjadi perancangan jangka pendek dan sederhana dengan memfokas kepada sasaran-sasaran yang boleh dicapai dan tangibles dalam tempoh lima hingga ke sepuloh tahun akan datang.

Buku pelan strategik ini dengan jelas menggambarkan kerjasama dan komitmen warga Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya dalam merangka rancangan bagi menuju masa depan Kementerian ini. Tahniah kepada semua yang terlibat diatas iltizam, keazaman dan semangat serta usaha berterusan bagi merealisasikan visi dan misi Kementerian Perhubungan dan Negara Brunei Darussalam menjadi satu kenyataan.

Impak perubahan dan peredaran teknologi

Hadirin dan hadirat sekalian,

Menerusi Pelan Strategik ini, kita berusaha menggarap pemikiran untuk memandang jauh, menjangkau dan meramal akan perkembangan dan perubahan industri perhubungan dan pengangkutan khasnya di rantau ini dan mensejajarkannya dengan peranan dan tanggung jawab Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan dibawahnya.

Saya percaya dengan penelitian semula visi, misi, objektif, dan strategi ini, Kementerian Perhubungan akan dapat pula meneliti dasar-dasarnya supaya sentiasa relevan dan mampu memberikan kita persediaan dalam menangani cabaran-cabaran dan perubahan-perubahan yang dijangkakan dan tidak dijangkakan.

Usaha untuk memenuhi keperluan dan peranan ini, sememangnya bukanlah mudah. Akan tetapi, dengan adanya sokongan dan kerjasama yang padu di semua peringkat, usaha ke arah ini, Insya Allah akan dapat membuahkan hasilnya.

Dalam konteks inilah Pelan Strategik yang dilancarkan pada hari ini akan dapat memainkan peranannya sebagai panduan dan rujukan bagi penelitian sesuatu dasar bagi mencapai misi Kementerian ini. Salah satu daripada usaha tersebut ialah bagi meningkatkan lagi tahap dayasaing Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah ekonomi yang mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Kearah ini adalah penting untuk kita menyediakan prasarana dan meningkatkan kualiti perkhidmatan perhubungan dan pengangkutan yang diperlukan selaras dengan tahap piawaian serantau dan antarabangsa bagi membantu membuka laluan kepada pengusaha-pengusaha mengeksploitasi peluang-peluang dalam industri perhubungan dan pengangkutan.

Masyarakat Bermaklumat

Dalam bidang perhubungan adalah menjadi visi Negara Brunei Darussalam sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan masyarakat bermaklumat atau ’information society’ iaitu masyarakat yang bukan sahaja dapat menggunakan maklumat tetapi dapat memanfaatkan maklumat sebagai sumber ekonomi selaras dengan perkembangan ekonomi yang berasaskan kepada ilmu pengetahuan atau ’knowledge economy’.

Kunci kepada usaha melahirkan masyarakat bermaklumat bergantung besar kepada keupayaan anggota masyarakat untuk berubah. Sungguhpun kadar penetrasi ’fixed-line’ ke rumah-rumah adalah hampir 100% akan tetapi kadar peratus pengguna Internet bagi setiap 100 orang adalah pada tahap 46.6%. Usaha-usaha Kerajaan menerusi rancangan e-Kerajaan untuk menyediakan berbagai perkhidmatan on-line bagi memudahkan serta memperkesankan pengurusan perkhidmatan Kerajaan hanya akan dapat berjaya terlaksana jika semua pihak yang terlibat, yakni, tenaga manusia dalam Kerajaan dan pengguna iaitu semua lapisan masyarakat, mempunyai kemahiran atau celik ICT.

Dalam hubungan ini, kita semua bertanggungjawab dalam melaksanakan usaha bagi memastikan bahawa investment dalam projek-projek ini akan berbaloi dengan menyediakan tenaga manusia yang dapat memanfaatkannya.

Berkaitan dengan ini Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikas (AiTi) sejak tahun 2007 telah melaksanakan InfoCom Competency Training Programme dalam usaha membantu meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja ICT tempatan baik di sektor swasta maupun di sektor kerajaan untuk meningkatkan kemahiran mereka. Ke arah ini, AiTi akan menghulurkan kos latihan di antara 50-80% di agensi-agensi latihan yang dikenal pasti. Program ini adalah satu daripada visi AiTi untuk menyediakan Negara Brunei Darussalam dengan industri ICT yang dinamik, inovatif dan vibrant selaras dengan keperluan negara.

Dalam masa yang sama kita menghargai dan mengalu-alukan akan penglibatan sektor swasta dan agensi-agensi lain dalam sama-sama memaju dan meningkatkan kapasiti tenaga manusia dalam bidang ICT.

Kita menyaksikan di kalangan negara-negara di rantau ini atau dirantau Asia-Pasifik akan co-relation diantara peningkatan prasarana info-komunikasi dengan peningkatan ekonomi yang menunjukkan perkaitan yang positif.

Sehubungan ini pasarana bagi membantu perkembangan info-komunikasi akan dipertingkatkan dan diperluaskan termasuk pelan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan jalur lebar atau broadband. Begitu juga dengan terlaksananya Projek Kabel Dasar Laut Asia-America Gateway (AAG) iaitu sistem kabel dasar laut selain daripada sistem SEA-ME-WE-3 yang ada pada masa ini, akan meningkatkan lagi kapasiti bandwidth dan keupayaan laluan trafik keluar negara.

Kita berharap prasarana yang tersedia dan akan dimajukan ini akan dapat menjana perkembangan dan kemajuan ekonomi dipelbagai sektor SME dan agensi-agensi swasta dan Kerajaan malah dapat menarik Foreign Direct Investment (FDI).

Perkembangan industri pengangkutan

Perkembangan industri perhubungan baik laut, darat mahupun udara bagi menjana pertumbuhan ekonomi tidak dapat dinafikan. Asia Pasifik adalah rantau yang pada masa ini berkembang dan terus meraih potensi untuk berkembang dimasa akan datang.

Alhamdulillah pada tahun 2007, ahli-ahli BIMP-EAGA telah mencapai persetujuan bagi liberalisasi penerbangan, dan telah juga mencapai persetujuan mengembangkan bidang pengangkutan darat dan laut.

Sehubungan ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telahpun memberikan kebenaran kepada syarikat penerbangan daripada ahli-ahli BIMP-EAGA untuk beroperasi ke Negara Brunei Darussalam seperti Cebu Air dari Filipina dan Batavia Air dari Pontianak, Indonesia.

Kita berharap untuk mengorak langkah dengan segera bagi merealisasikan perkhidmatan darat dan laut.  Ini diharap akan membuka ruang dan peluang bagi penglibatan sektor swasta menerokainya dan membantu pula menjana sektor-sektor lain yang berhubungkait dengan pelancungan.

Sokongan kepada SMEs

Hadirin dan hadirat sekalian,

Menyedari akan peranan sebahagian dari jabatan-jabatannya sebagai pemudahcara atau regulator bagi perkhidmatan-perkhidmatan tertentu, maka menerusi Pelan Strategik ini usaha sedang dipergiatkan bagi meneliti kemungkinan dapat melaksanakan agenda pengkorporatan beberapa perkhidmatan - perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan-jabatan di bawah Kementerian Perhubungan.

Langkah ini diharapkan akan membolehkan Jabatan-jabatan berkenaan menumpukan tanggungjawabnya kepada core-business sementara perkhidmatan-perkhidmatan akan dapat dilaksanakan oleh sektor swasta.

Demikian juga Pelan Strategik ini menyediakan inisiatif untuk meneroka penyertaan pihak swasta dalam perlaksanaan sesuatu rancangan menerusi konsep Perkongsian Swasta-Awam (Public-Private Partnership). Modality atau pendekatan ini diharapkan akan dapat mengurangkan birokrasi atau ’red tape’ dan dapat pula meningkatkan produktiviti menerusi prosedur yang telus, cepat, mudah dan memuaskan.

Saranan kepada Warga Kementerian Perhubungan

Hadirin dan hadirat sekalian,

Untuk mencapai apa yang dihasratkan didalam Pelan Strategik Kementerian Perhubungan, kita memerlukan sumber modal insan yang sentiasa dapat mempertingkatkan keupayaan, kemahiran dan pengetahuan untuk memastikan bahawa kita sentiasa bersedia menghadapi segala perubahan yang ada.

Pertama adalah perlunya tumpuan khusus untuk diberikan pada perkembangan sumber tenaga manusia (human resource development) yang efisien, berkemahiran dan competent. Saya menyedari kita menghadapi kekurangan, khususnya didalam pakar-pakar tempatan didalam bidang-bidang teknikal dan operational. Perkara ini turut digariskan didalam Pelan Strategik ini dan saya juga percaya ini menghendaki langkah-langkah dan inisiatif untuk meningkatkannya.

Kedua ialah pentingnya perubahan minda dan pendekatan untuk mencapai produktiviti dan efisiensi didalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Pengkorporatan, misalnya, seharusnya bertindak sebagai ‘catalyst’ bagi perubahan dan menjelmakan satu entiti korporat, yang menekankan kepada ‘survival’ dan ‘sustainability’, menggalakkan innovasi dan kreativiti serta mewujudkan budaya kerja berteraskan perniagaan, mampu bersaing dan berorientasikan mesra pelanggan.

Ketiga, kejayaan Pelan Strategik adalah bergantung kepada kepimpinan atau leadership, yang bukan sahaja bertindak menerajui jabatannya tetapi berkeupayaan dan berwibawa menterjemahkan dasar menjadi objektif dan langkah-langkah dan disalurkan kepada kakitangan dengan jelas bagi menjelmakan pelan operasi (plan operations). Dalam masa yang sama, seperti seorang kapten kapal, pemimpin akan sentiasa berwaspada untuk bertindak dan membuat respon serta menyelaraskan strateginya bila berhadapan dengan sebarang perubahan dan cabaran baik dari luar mahupun dari dalam.

Kearah usaha ini, saya penuh berharap agar Buku Pelan Strategik 2008-2017 ini tidak sahaja disimpan sebagai penghias almari, akan tetapi diteliti dan difahami sebagai garispandu dan rujukan pada setiap masa. Buku Pelan Strategik ini juga diharap akan menjadi landasan bagi titik bermulanya peningkatan, pembaikan dan inovasi yang berterusan kearah mendokong wawasan Brunei 2035.

Usaha-usaha bagi memberigakan buku pelan strategik ini dengan mengadakan road show sebagaimana dinyatakan oleh Pengerusi Majlis dan sebagainya perlulah dilaksanakan secara berterusan untuk menjana pemahaman yang lebih mendalam bagi memastikan pelaksanaan yang lancar. Saya menaruh harapan diperingkat jabatan pula, usaha-usaha ke arah menjelmakan pelan strategik ini melalui penyediaan business plan atau operation plan masing-masing akan dapat dilaksanakan dengan penuh komited dan kesungguhan.

Akhirnya menerusi kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan yang menjadi tulang belakang dan penggerak kepada penyediaan Buku Pelan Strategik 2008-2017 ini.

Saya juga ingin merekodkan ucapan terima kasih kepada tenaga akademik Universiti Brunei Darussalam diatas kerjasama, bantuan dan nasihat yang diberikan. Usaha yang dilaburkan bukannya sedikit, dan Kementerian Perhubungan sangat-sangat menghargai sumbangan, kerjasama serta usaha yang diberikan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkatinya.

Sekian Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

Attachments
Speeches