Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksISU2LTD17

ISU: Memperkenalkan Sistem Pemantauan dengan Pengawalan Sistem Black Box (Kotak Hitam) kepada kenderaan berat, trak dan bas-bas besar


- Soalan Yang Berhormat -

“Kaola ingin menyentuh mengenai keselamatan jalan raya yang sekarang ini sangat membimbangkan dengan kejadian kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat, trak, bas yang menyebabkan cedera parah dan juga kematian. Dari pengamatan kaola kebanyakan kenderaan, trak dan bas sering dipandu dengan laju melebihi had laju yang telah ditetapkan. Perkara ini sangat serius dan boleh mendatangkan malapetaka kepada pengguna jalan yang lain. Sikap pemandu pemandu kenderaan berat yang tidak bertanggunjawab ini perlu dibendung dan ditangani segera. 

Oleh itu, kaola ingin mencadangkan kepada Kementerian Perhubungan untuk memperkenalkan sistem pemantauan dengan pengawalan sistem black box iaitu kotak hitam kepada kenderaan berat, trak dan bas-bas besar seperti mana yang telah dikuatkuasakan di negara-negara lain. Sebagai contoh Malaysia, semua kenderaan berat dan bas besar dimestikan memasang kotak hitam tersebut untuk membolehkan kenderaan tersebut dapat dipantau had kelajuan yang dipandunya. Kebaikan sistem ini : 

i) Membolehkan pemantauan dan penguatkuasa kenderaan berat, trak dan bas besar dipandu dengan had laju yang dibenarkan; 

ii) Meningkatkan penguatkuasaan kenderaan berat secara berkesan dengan sepenuhnya; dan 

iii) Akan mengurangkan kejadian kemalangan yang dahsyat yang melibatkan cedera parah dan kematian”. 

- Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman

- Jawapan Menteri Perhubungan - 

Mengenai trak, bas dan kenderaan berat.  Perkara ini memang merupakan satu perkara yang begitu diambil perhatian oleh pihak Jabatan Pengangkutan Darat. Bermacam-macam usaha dan pemikiran telah diadakan untuk mengatasi masalah kenderaan-kenderaan berat yang dipandu dengan begitu laju.

Pernah ketika ini, kitani mengadakan system speed warning device.  Yang masalahnya dengan speed warning device ini ialah kalau kitani menguatkuasakan undang-undang ini, ia macam tangkap lari. Ada yang dapat ditangkap, tapi kebanyakannya yang lari. Jadinya dari keberkesanannya, memang berkesan, kerana apa kalau sekiranya kesalahan itu terlalu meluas, mudah menangkap. 

Tapi ada masalah lain jua, yang berhubung dengan penyelesaian masalah itu sehingga sebelum kitani memperkenalkan sistem, semua kesalahan kenderaan ini dikompaun, hampir 800 kesalahan telah dirujuk kepada mahkamah dan belum diselesaikan.

Jadinya serba salah mengenai aspek penguatkuasaan. Ditingkatkan penguatkuasaan banyak lagi proses yang akan diambil, terutama yang berhubung dengan pelaksanaan proses mahkamah.  Ini menyebabkan sebanyak hampir 800 cases backdated di Negara Brunei Darussalam ini sehinggakan pihak-pihak berkenaan merasa adalah wajar supaya kesalahan itu dikompaun sahaja. Didenda terus apabila seseorang itu didapati melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya. Itu untuk memudahkan proses mahkamah.  Ini harus difahami.

Walaupun demikian, masih terdapat banyak kemalangan yang berlaku yang bukan disebabkan oleh kelajuan sahaja, tetapi terutamanya yang berlaku di Jalan Tutong, yang trak tersebut bukan dikhususkan untuk kenderaan berkenaan membuat U-Turn, mereka gunakan untuk U-Turn, sehinggakan banyaknya misuse berlaku dan pernah beberapa kemalangan telah berlaku.

Kementerian Perhubungan dan Jabatan Pengangkutan Darat berfikir usaha menjaga keselamatan di jalan raya ini tidak dapat diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya sahaja.  Mesti ada penglibatan dari pihak yang mengendalikan kenderaan berat.

Salah satu usaha Jabatan Pengangkutan Darat Yang Berhormat Pengerusi ialah untuk meminta setiap pengendali kenderaan berat menunjukkan kepada Jabatan Pengangkutan Darat apakah usaha yang mereka akan ambil dalam memastikan bahawa setiap kenderaan berat itu, akan memenuhi syarat-syarat dan peraturan jalan raya.

Apakah safety ataupun security measure yang akan mereka keluarkan untuk memastikan setiap pemandu akan mematuhi peraturan-peraturan jalan raya.

Dari segi teknologi, ketika ini Jabatan Pengangkutan Darat berfikir mungkin speed warning device itu tidak lagi efektif. Sekarang ini teknologi ICT sudah banyak. [Insya-Allah] salah satu pemikiran yang sedang dicadangkan dan perkara ini sudah pun ditunduki dan menunggu masa payu sahaja lagi ialah dengan menggunakan GPS System. Mungkin ini sama dengan ‘black box’ yang digunakan di luar negeri, ia berasaskan kepada teknologi ICT.

Ini akan memberi gambaran yang tepat mengenai speed dan jalan-jalan yang dilalui. Tidak dapat diubah ataupun di tempered.  So ini selaras dengan cadangan Yang Berhormat tadi untuk mengadakan black box ataupun GPS System, salah satu perkara yang pada masa ini ditunduki dan difikirkan sedalam-dalamnya bagaimana untuk melaksanakannya.

Tapi apa yang ingin ditekankan bahawa keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama bukan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Darat sahaja, tapi pengeluar-pengeluar kereta, pengendali kereta-kereta berat harus juga mengambil tanggungjawab apakah aspek-aspek keselamatan jalan raya yang dapat mereka laksanakan untuk memastikan pemandu-pemandu itu bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.


- Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa Bin Haji Sirat

​Tarikh dikemaskiniInisiatif Jabatan
​17 Oktober 2017
​Pada masa ini, perancangan GPS tracking adalah bagi bas-bas awam terlebih dahulu. Melihat keberkesanannya nanti dan penerimaan orang ramai, teknologi ini akan dipertimbangkan untuk dilaratkan kepada trak-trak komersial. Buat masa ini, trak masih lagi mengunakan Speed Warning Device (SWD).