Mengenai mempromosikan di setiap jabatan kerajaan produk-produk dari Majlis Perundingan Mukim dan Kampung. Kaola sendiri Yang Berhormat Pengerusi tidak melihat sebarang masalah mengenai perkara ini bergantung pada dasar-dasar atau tumpuan jabatan-jabatan kerajaan masing-masing untuk memberi akomodasi mengenai cadangan ini dan abiskaola dulu pun semasa dalam tugas kaola yang lama menggalakkan diadakan satu macam groceries, kedai-kedai untuk memudahkan pekerja-pekerja kementerian itu untuk membeli barang-barang keperluan khususnya seperti minyak makan, barang-barang keperluan memasak di rumah dan sebagainya tanpa perlu pergi ke tempat-tempat yang sesak dengan kereta.
Ini satu cadangan yang baik walau bagaimanapun terserah kepada pihak-pihak yang ingin mempromosikan produk-produk yang berkenaan sama ada viability nya atau tidak. Ini merupakan cadangan yang khusus dan harus dipertimbangkan sejauh mana pihak-pihak yang ingin mempromosikan produk mereka itu melihat jika ada peluang-peluang itu. Kalau sekiranya ada kedai runcit di kementerian-kementerian mungkin dapat disimpan produk-produk tempatan sejauh mana produk-produk tersebut laku untuk dibeli oleh pembeli.
Yang Berhormat Pengerusi:
Ahli-Ahli Yang Berhormat saya harap perkara itu tidak akan merupakan janji sebab saya kira jabatan-jabatan kerajaan kadang-kadang tidaklah begitu sesuai untuk mempamerkan bahan-bahan makanan dan seumpamanya. Saya harap ia bukan merupakan satu janji kepada jabatan-jabatan berkenaan.
Yang Berhormat Menteri Perhubungan:
Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. [Insya-Allah] pihak kaola akan meneliti perkara ini dengan lebih lanjut mengikut keupayaan kementerian kaola sendiri.